Friday, November 21, 2008

Jangan Hampiri Zina!!!

“Jika remaja dapat melalui zaman remajanya yang sukar ini dengan jaya, tidak ada lagi zaman yang lebih sukar daripada itu”

Kami tidak berzina!

Maaf, saya tidak menuduh awak berzina tetapi awak menghampiri zina.

Kami hanya berbual, berbincang, bertanya khabar, minum-minum….Adakah itu menghampiri zina?

Ya, perbuatan itu boleh menjerumus pelakunya ke lembah penzinaan.

Kami dapat mengawal perasaan dan kami tidak berniat ke arah itu.

Hari ini, ya. Besok mungkin kamu kecundang. Kamu dalam bahaya. Jangan bermain dengan bahaya. Iblis dan syaitan akan memerangkap kamu. Sudah banyak tipu daya Iblis yang mengena sasaran. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya amat halus. Ia telah menipu nenek moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Jangan pula terlupa. Siapalah kita jika dibandingkan dengan Adam dan Hawa? Iblis amat licik. Pengalaman banyak. Ia ada 1001 cara. Ingat, pesanan Rasulullah: Jangan engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan. (HR Tabrani). Syaitan akan menghembus perasaan berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.

Tidak semua orang bercinta menjurus kepada perzinaan. Ada yang hanya bercinta dalam telefon dan hantar SMS sahaja. Tak pernah bersua muka pun!

Betul! Itu adalah salah satu yang dimaksudkan dengan menghampiri zina. Memang pada awalnya tidak pernah bersua muka, tetapi perasaan pasti bergelora. Lambat launnya desakan nafsu dan perasaan serta hasutan iblis, akan mengheret kepada satu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti di situ sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan dan berterusan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Takkan berbual pun tak boleh? Itu pun zina jugak ke?

Zina ada bermacam-macam jenis dan peringkatnya, ada zina betul, ada zina tangan iaitu berpegang-pegangan, ada zina mata iaitu melihat kekasih dengan perasaan berahi. Melihat auratnya juga zina mata. Zina hati iaitu khayalan berahi dengan kekasih sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah:

“kedua-dua tangan juga berzina dan zinanya adalah menyentuh. Kedua kaki juga berzina dan zinanya adalah berjalan (menuju ke tempat pertemuan). Mulutnya juga berzina dan zinanya ialah ciuman” (HR Muslim dan Abu Daud).

Sebenarnya jalan dan lorong menuju perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita berada atau melalui mana-mana jalan atau lorong yang boleh membawa kepada perzinaan.

Duduk berdiskusi pelajaran tak boleh ke? Bincang pelajaran sahaja!

Berdiskusi pelajaran, betul ke? Jangan tipu. Allah tahu apa yang terselit di dalam hati hamba-hambanya. kita belajar nak keberkatan. Kalau cemerlang sekalipun, kalau tidak diberkati Allah, kejayaan tidak akan membawa kebahagiaan. Hidup tidak bahagia, akhirat lebih lagi lah. Jangan berselindung disebalik pelajaran yang mulia. Allah suka kepada orang yang berilmu. Jadi, belajar akan jadi ibadat. Adakah berdiskusi macam ini akan ditulis ibadat oleh Raqib dan Atid?

Sungguh! Bincang pelajaran sahaja. Ni “study group”

Study group…..? Nampak lain macam saja, manja, senyum memanjang, tak macam gaya berdiskusi. Takkan study group berdua sahaja? Ke mana-mana pun berdua. Kalau ye pun, carilah group study ramai sikit. Kalau duduk berdua-duaan macam ni… Betul ke bincang pelajaran? Jangan-jangan sekejap saja bincang pelajaran, yang lain tu…. Banyak masa dihabiskan dengan fantasi cinta!

Tidaklah. Sungguh bincang pelajaran .

Baik sungguh awak berdua. Takkanlah awak berdua tak ada perasaan apa-apa? Awak kurang sihat ke? Ingat, kita bukan malaikat, tak ada nafsu.. kita manusia. Jangan menafikan fitrah manusia.

Kami sama-sama belajar, study group, saling memberi semangat dan motivasi.

Tak adakah kaum sejenis yang boleh dijadikan rakan belajar? Habis sudahkah kaum sejenis yang boleh memberikan motivasi? Jangan hina kaum sejenis kita. Ingat, banyak orang cemerlang yang belajar hanya dengan kaum sejenis. Lebih tenang perasaan, tidak terganggu, dapat berkat dan rahmat pula.

Takkanlah tak ada ruang langsung yang dibenarkan Islam untuk bercinta? Adakah Islam membunuh terus naluri cinta?

Naluri adalah sebahagian daripada kesempurnaan kejadian manusia. Naluri ingin memiliki dan suka kalau dimiliki (sense of belonging) adalah fitrah. Kalau naluri itu tidak wujud pada diri seorang, tak normal namanya. Islam datang bukan untuk membunuh naluri seperti yang dilakukan oleh paderi atau sami. Jangan nafikan naluri ini. Jangan berbohong pada diri sendiri.

Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Itu adalah fitrah. Cuma, tundukkan naluri itu untuk patuh pada perintah Allah. Jadilah manusia yang sihat nalurinya.

Jangan jadi malaikat! Kerana Allah ciptakan kita sebagai manusia. Dunia dan segala isinya akan hambar tanpa naluri atau nafsu.

Tentu ada cinta secara Islam.

Cinta secara Islam hanya satu, perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab qabul: cinta selepas kahwin. Itulah cinta sakral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan agama kita, Islam. Apabila Islam melarang sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kalau ia melarang cinta atara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa “sesuatu” sebagai ganti yang lebih baik iaitu perkahwinan. Sabda Rasulullah: tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (HR Ibni Majah).

Cinta adalah maruah manusia. Ia terlalu mulia.

Kalau begitu, cinta remaja semua menghampiri perzinaan?

Ya. kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual sehingga malam gelap. Hubungan semakin akrab, dah pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru semalam… Bukankah mereka semakin hampir dan dekat dengan perzinaan?

Penghujung jalan cinta adalah perzinaan dan kesengsaraan. Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah perzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu-bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripadaseekor nyamuk sekalipun.

Masih ramai orang yang bercinta tetapi tetap selamat, tidak sampai berzina. Kami tahan diuji.

Allah yang menciptakan manusia, Dia tahu kekuatan dan kelemahan manusia. Manusia tidak tahan ujian. Oleh itu Allah memerintahkan supaya jauhi perkara yang ditegah takut manusia akan kecundang.

Jadi manusia itu tak tahan diuji?

Kita manusia dari keturunan Adam dan Hawa. Sejak dari awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa mereka tidak tahan dengan diuji walaupun kecil. Allah takdirkan satu peristiwa untuk iktibar manusia. Allah tegah Adam dan Hawa supaya jangan makan buah khuldi dalam syurga. buah yang lain boleh makan. Allah tahu kelemahan pada ciptaannya, manusia. Tak tahan diuji. Oleh itu Allah telah berpesan kepada Adam dan Hawa, jangan hampiri pokok khuldi itu. Firman Allah:

“Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan jadilah kamu dari orang-orang yang zalim.”(al-A’raf)

Tegahan yang sebenarnya adalah memakan buah khuldi. Tetapi Allah tahu sifat kelemahan Adam dan Hawa. Jika menghampiri perkara tegahan, takut nanti mereka akan memakannya. Kerana mereka tidak dapat mengawal diri. Demikianlah dengan zina. Ditegah berzina. Maka jalan ke arah itu juga dilarang. Takut apabila berhadapan dengan godaan perzinaan, kedua-duanya akan kecundang. Cukuplah kita belajar dari pengalaman nenek moyang kita Adam dan Hawa.

Tetapi cinta selepas kahwin banyak masalah. Kita tak kenal pasangan kita secara dekat. Bercinta adalah untuk mengenal hati budi pasangan sebelum membuat keputusan berkahwin.

Bolehkah percaya dengan perwatakan masa sedang bercinta? Bercinta penuh dengan lakonan yang dibuat-buat dan kepura-puraan. Masing-masing akan berlakon dengan watak yang terbaik. Penyayang, penyabar, pemurah dan berbagai-bagai lagi. Masa bercinta adalah alam lakonan semata-mata. Masa bercinta, merajuk ada yang akan pujuk. Jangan harap lepas kahwin, bila merajuk akan ada yang memujuk. Banyak orang yang kecewa dan tertipu keperibadian semasa bercinta. Perangai pasangan jauh berbeza. Macam langit dan bumi. Masa bercinta, dia seorang yang amat penyayang, panyabar, sanggup tunggu pasangan terlambat sehingga berjam-jam. Tapi bila dah kahwin, lewat lima minit dah kena tengking. Jadi perwatakan dalam masa bercinta tidak boleh dipercayai. Percintaan adalah suatu kepuraan atau hipokrit.

Percayalah, kami bercinta demi merancang kebahagiaan hidup nanti.

Bagaimana diharap kebahagiaan jika tidak mendapat keredhaan Allah? Kebahagiaan adalah anugerah Allah kepada hamba-hambanya yang terpilih. Kebahagiaan bukan ciptaan manusia. Manusia hanya merancang kebahagiaan. Allah yang akan menganugerahnya. Bagaimana mendapat anugerah kebahagiaan itu, jika jalan mencapai kebahagiaan itu tidak diredhai Allah. Kebahagiaan hidup berumah tangga mestilah melalui proses yang betul. Sudah tentu prosesnya bukan bercinta begini. Allah tidak meredhai percintaan ini. Cinta yang diredhai Allah adalah cinta selepas kahwin. Bagaimana untuk mendapat keluarga yang bahagia jika langkah mula sudahpun canggung, bagaimana kesudahannya?

Tanya sedikit……adik angkat, kakak angkat, abang angkat boleh ke? Ganti bercinta…..

Semua itu adalah perangkap iblis dan syaitan. Hakikatnya adalah sama. Cinta yang diberi nafas baru. Kulitnya nampak berlainan tetapi isinya adalah sama. Adik angkat, kakak angkat, abang angkat adalah suatu bentuk tipu daya iblis dan syaitan. Manusia yang terlibat dengan budaya “angkat” ini sebenarnya telah masuk ke dalam perangkap syaitan. Cuma menunggu masa untuk dikorbankan. Namakan apa sekalipun, abang angkat ke, kakak angkat ke, motivator ke, semuanya adalah sama. Jalan akhirnya akan bertemu dengan zina.

Jadi, seolah-olah orang yang bercinta telah hilang maruah diri?

Mengukur maruah diri bukan ditentukan oleh manusia tetapi oleh pencipta manusia. Sebab ukuran manusia berbeza-beza. Orang yang sedang mabuk bercinta akan menyatakan orang yang sedang bercinta tidak menjejaskan apa-apa maruah dirinya. Manakala bagi orang yang menjaga diri, tidak mahu terlibat dengan cinta sebelum kahwin, akan mengatakan orang yang bercinta sudah tidak bermaruah lagi. Cintanya ditumpahkan pada orang yang belum layak menerima cinta suci itu. Kalau begitu ukuran bemaruah atau tidak adalah ditentukan oleh Allah.

Adakah orang bercinta hilang maruah?

Antara kemuliaan manusia adalah maruah dirinya. Orang yang bercinta seolah-olah cuba menggadai maruahnya kerana mereka menghampiri perzinaan. Manakala orang yang bercinta dan pernah berzina tidak layak berkahwin kecuali dengan orang yang berzina juga. Mereka tidak layak untuk berkahwin dengan orang yang beriman. Allah berfirman:

Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.

(surah al-Nur)

Jadi orang yang pernah bercinta juga tidak sesuai untuk berkahwin dengan orang yang tidak pernah bercinta. Tidakkah itu suatu penghinaan Tuhan.

Jadi orang yang bercinta hanya layak berkahwin dengan orang yang pernah bercinta juga?

Itulah pasangan yang layak untuk dirinya. Kerana wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik.

Kami telah berjanji sehidup semati.

Apa ada pada janji cinta? Berapa banyak sudah janji cinta yang musnah? Lelaki, jangan diharap pada janji lelaki. Mereka hanya menunggu peluang keemasan sahaja. Habis madu, sepah dibuang. Pepatah itu diungkap kerana ia sering berulang sehingga menjadi pepatah.

Si dia ini lain dari yang lain. Dia lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab.

Tahukah hati budi lelaki? Sejahat mana lelaki apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya, dia akan memilih wanita yang baik. Tetapi untuk berseronok, suka dan berfoya-foya, lelaki biasanya akan memilih perempuan murahan kerana ia suatu pelaburan yang menguntungkan. Itulah rahsia lelaki.

Jadi, perempuan yang bercinta, jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?

Tentu. Mana ada orang lelaki yang normal suka pada barang yang second hand sedangkan barang yang baru masih ada. Sesetengah mereka menggambarkan perempuan seperti kereta yang diletakkan di show room sahaja; display only. Tapi ada yang boleh test drive. Ada pula kata: sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung, bawalah ke hulu ke hilir. Sedihkan. Itulah hakikatnya.

Masih adakah orang tidak bercinta di zaman ini?

Ya, masih ada orang yang suci dalam debu. Golongan ini akan sentiasa ada walaupun jumlah mereka kecil. Mereka akan bertemu suatu hari nanti. Mereka ada pasangannya. Firman Allah:

“Dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya (yang memelihara dirinya daripada melakukan zina) ….. Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

(al-Ahzab:35)

Bagaimana kami?

Kamu masih ada peluang. Bertaubatlah. Dengan taubat nasuha. Berdoalah serta memohon keampunan dari-Nya. Mohonlah petunjuk dan kekuatan untuk mendapat redha-Nya.

Kami ingin mendapat redha Allah. Tunjukkanlah bagaimana taubat nasuha?

Taubat yang murni. Taubat yang sebenar-benarnya. Taubat yang memenuhi 3 syarat:

1.Tinggalkan perbuatan maksiat. Putuskan hubungan cinta yang tidak diredhai Allah ini.

2.Menyesal. Menginsafi diri di atas tindak tanduk hidup yang menjurus diri dalam percintaan.

3.Berazam. Bertekad di dalam hati tidak bercinta lagi dengan sesiapa kecuali dengan seorang yang bernama isteri atau suami. Saatnya adalah selepas ijab Kabul.

Ya Allah. Hambamu telah tersesat jalan. Ampunilah dosa-dosa hambamu ini. Sesungguhnya engkau maha pengampun dan penerima taubat. Berilah kekuatan kepadaku untuk menghadapi godaan keremajaan ini. Anugerahkan kepadaku perasaan benci kepada maksiat. Hiasilah diriku dengan akhlak yang mulia. Ibu dan ayah, anakmu berdosa. Engkau jaga diriku sejak kecil dengan kasih sayang. Mengapa ku curahkan kasih itu kepada orang lain..oh Tuhan, hambamu berdosa……….

Amin, Ya Rabb.moga Allah terima taubatnu.

Kita berpisah kerana Allah. Kalau ada jodoh, tidak kemana!

Ya Allah bantulah mereka. Kini mereka datang ke pintu-Mu mencari redha-Mu. Terimalah taubat mereka.




No comments: